Jumaat, 20 Ogos 2010

Cara penggunaan dialek dalam masyarakat

      
      Dialek dapat didefinisikan sebagai suatu bentuk bahasa yang berbeza daripada bahasa standard. Variasi bahasa ini digunakan dalam satu daerah atau kelas sosial tertentu. Berbeza daripada bahasa baku yang digunakan dalam situasi rasmi, dialek digunakan dalam situasi yang berlainan, iaitu digunakan dalam percakapan seharian mengikut negeri masing-masing. Selalunya dialek digunakan dalam situasi yang tidak rasmi seperti dalam perhubungan kekeluargaan dan pergaulan seharian. Terdapat dua jenis ciri dalam dialek iaitu,ciri-ciri umum yang sama yang dimiliki oleh semua dialek dan ciri-ciri khas yang berlainan yang hanya dimiliki oleh dialek masing-masing.

        Ciri-ciri umum yang banyak digunakan berbanding ciri-ciri khas.Hal ini demikian, membolehkan penutur dialek-dialek itu saling memahami antara satu sama lain dengan sempurna.Namun demikian, jika ciri-ciri umum antara dialek itu semakin berkurang , maka tahap pemahaman antara penutur dialek yang berbeza akan semakin rendah. Oleh itu, ciri-ciri umum ini akan hilang, maka tahap pemahaman turut lenyap dan perkembangan ini akan menyebabkan kemunculan bahasa-bahasa baru.

        Terhasilnya sesuatu dialek adalah disebabkan oleh adanya faktor geografi dan faktor sosial. Dari segi sosial, sesuatu dialek itu timbul kerana perhubungan yang baik untuk menghubungkan masyarakat yang sebelum ini menuturkan bentuk bahasa yang sama. Dalam keadaan yang demikian, dialek yang terhasil dinamakan dialek daerah.

        Faktor sosial pula merujuk kepada faktor yang berkaitan dengan perhubungan masyarakat. Sebagai contohnya, pergaulan masyarakat melayu dengan masyarakat Cina dan India telah menghasilkan dialek pasar atau bahasa pasar manakala pergaulan antara remaja pula mewujudkan bahasa slanga. Dialek yang terhasil daripada faktor sosial pula dikenali sebagai dialek sosial.

        Istilah lain untuk dialek daerah ialah loghat daerah. Dengan menggunakan isoglos atau garis sempadan linguistik, penutur-penutur dialek daerah dapat dikelompokkan dalam satu kawasan geografi linguistik tertentu. Sebagai contohnya,dialek-dialek daerah di Malaysia dapat dibahagikan kepada dialek utara atau dialek Kedah yang meliputi kawasan Perlis,Kedah,Pulau Pinang dan Perak Utara, dialek Perak yang meliputi kawasan Perak Tengah. Dialek Selatan yang meliputi Perak Selatan,Selangor,Melaka dan Johor. Dialek Negeri Sembilan yang terdapat di Negeri Sembilan. Dialek Kelantan yang meliputi negeri Kelantan serta kawasan-kawasan sempadan Pahang dan Terengganu. Dialek Sabah yang tertumpu di pulau Labuan dan sekitar Beaufort. Dialek Sarawak yang terdapat di bahagian pertama khususnya Kucing dan Pantai Utara serta kawasan Miri, Bintulu dan Sibu.Dialek-dialek ini dibezakan dari segi sebutan, kosa kata, kata ganti nama diri,tatabahasa dan gaya lagu bahasa.

        Aspek tatabahasa yang berbeza antara dialek dapat dilihat dalam penggunaan imbuhan. Contohnya, dialek Utara menggunakan imbuhan apitan memper…kan untuk kata dasar adjektif seperti pada perkataan mempercepatkan tetapi bagi dialek selatan, imbuhan yang digunakan hanya imbuhan awalan memper…atau apitan men…kan, iaitu mempercepat atau mencepatkan. Dari segi lagu bahasa pula, didapati orang Kedah bertutur lebih cepat berbanding dengan orang negeri Sembilan.

        Di Malaysia, seseorang penutur asli bahasa melayu biasanya dilahirkan dalam suasana dialek tertentu. Dialek itu merupakan bahasa pertama yang dipelajari dan dikuasai oleh mereka. Kemudian, apabila belajar di sekolah, mereka mula terdedah kepada bentuk bahasa baku dan perlu mempelajari sehingga menguasainya. Antara dialek sosial yang terdapat dalam bahasa melayu ialah bahasa pasar dan bahasa slanga.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan