Sabtu, 28 Ogos 2010

RTM haramkan dialek Cina dan Tamil

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengharamkan lakonan dalam program komedi,sitkom atau drama yang menunjukkan orang Melayu ataupun bukan Melayu bercakap bahasa Malaysia dalam dialek atau intonasi mengikut bahasa Cina atau Tamil,kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

"Perkara ini telah lama disedari oleh Kementerian Penerangan dan apabila mengambil alih sebagai Menteri Penerangan,saya telah memberikan arahan sacara tegas supaya tidak ada lagi lakonan seumpama ini disiarkan oleh RTM."

"Saya cukup menyedari bahawa perbuatan ini adalah satu bentuk penghinaan kepada bukan Melayu keran generasi baru bukan Melayu tidak lagi bercakap sedemikian.Malah mereka merasa terasing daripada program yang seumpama ini",katanya dalam satu kenyataan,Selasa.

Zainuddin berkata atas sebab itulah RTM tidak mengambil beberapa orang pelakon yang cenderung atau suka untuk menggunakan Bahasa Malaysia seperti yang disuarakan oleh orang ramai dalam akhbar berbahasa Inggeris dan berbahasa Cina pada hari Selasa.

Seorang pembaca,Dr M.A Nair dari Bandar Muadzam Shah,Pahang dalam suratnya kepada ruangan "Letters to the Editor" akhbar New Straits Times hari ini mendesak RTM supaya tidak lagi membenarkan dialek sedemikian digunakan dalam programnya.

Zainuddin,bagaimanapun,berkata Kementerian Penerangan tidak mempunyai kuasa untuk melarang penerbitan atau siaran program-program seumpama itu di stesen televisyen swasta.

"Kementerian Penerangan juga sedar bahawa kementerian ini harus memainkan peranan untuk menyedarkan masyarakat terhadap wujudnya generasi baru bukan Melayu yang boleh berbahasa Malaysia mengikut standard biasa dan bukan lagi bahasa pasar yang murah,"katanya.

Zainuddin berkata sebenarnya masih ramai orang Melayu,khususnya pegawai kerajaan sendiri,yang tidak menyedari tentang adanya generasi bukan Melayu,terutamanya Cina dan India yang telah pun dapat menguasai bahasa Malaysia standard.

"Malah masih terdapat sebilangan kecil pegawai kerajaan Melayu yang melayan orang Cina dan India di kaunter-kaunter dengan menggunakan bahasa pasar yang kasar dan bukan bahasa Malaysia standard dan ini menyebabkan kaum ini terasa terhina dan tersinggung,"katanya.

Zainuddin berkata RTM juga menyedari kecenderungan bilik berita RTM sendiri yang menggunakan istilah baru bahasa Malaysia daripada perkataan Inggeris sekalipun perkataan bahasa Inggeris itu telah lama diterima pakai dan difahami oleh orang ramai.

Beliau menjelaskan bahawa RTM tidak terikat untuk memakai semua istilah Dewan Bahasa dan Pustaka yang kadang kala mengelirukan dan menyusahkan orang ramai.

Dalam suratnya itu,pembaca tersebut turut mencadangkan supaya berita daripada televisyen tidak terlalu banyak menggunakan bahasa asing yang tidak difahami padahal terdapat istilah bahasa Malaysia yang sesuai digunakan.

Menurut pembaca itu,menggunakan bahasa yang dicedok daripada bahasa lain hanya mencemarkan bahasa Malaysia yang sememangnya indah dan halus.

"Sesungguhnya langkah RTM membanyakkan program Cina dan India dalam bahasa Malaysia adalah untuk menuju ke arah memberikan kesedaran baru kepada orang Melayu sendiri dan juga perasaan bangga di kalangan orang bukan Melayu,"katanya.

Zainuddin berkata beliau gembira kerana orang ramai telah memberikan reaksi dan komen yang positif dalam usaha RTM untuk memperbanyakkan program Cina dan Tamil dalam bahasa Malaysia termasuk komen daripada kalangan orang bukan Melayu.
BERNAMA

Sabtu, 21 Ogos 2010

Pengenalan Dialek

       
       Dialek juga dikenali sebagai variasi bahasa iaitu variasi daripada sesuatu bahasa tertentu dan dituturkan oleh sekumpulan masyarakat bahasa tersebut. Kepelbagaian bahasa itu ditentukan oleh faktor teknikal bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Dialek ditentukan oleh beberapa faktor iaitu kedudukan geografi, kumpulan sosial, perwatakan peribadi dan konteks semasa. Dialek terbahagi kepada dua iaitu dialek geografi dan dialek sosial. Dialek geografi merangkumi dialek yang digunakan oleh masyarakat di kawasan tertentu seperti dialek selatan, dialek utara, dialek pantai timur dan dialek pantai barat. Dialek ini ditentukan berdasarkan ruang geografi tempat menetapnya penutur sesuatu bahasa berkenaan. Dialek sosial digunakan apabila berlakunya pelbagai situasi sosial tertentu seperti situasi rasmi dan tidak rasmi yang mengandungi bahasa kasar,halus dan neutral.

Ciri-ciri dialek

1. Tujuan tidak rasmi.
2. Tidak mementingkan tatabahasa.
3. Banyak menggunakan istilah berdasarkan daerah.
4. Menggunakan bahasa biasa yang bersifat tidak formal.
5. Menggunakan imbuhan tertentu atau tidak sama sekali.
6. Menggunakan sebutan yang tidak tepat atau tidak mengikut ejaan.
7. Banyak menggunakan unsur kependekan kata.
8. Digunakan secara lisan. 
9. Sistem sapaan yang berbeza.

Faktor-faktor kewujudan bahasa dialek

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi penimbulan bahasa dialek, iaitu:

a) Geografi

    Perbezaan dari segi udara,keadaan negara,suasana,bukit bukau,sungai-sungai dan laut menyebab manusia bermastautin di tempat tertentu. Inilah menjana kepada perkembangan bahasa yang tersendiri.

b) Politik

    Faktor politik telah membahagi-bahagikan Negara Malaysia kepada unit-unit politik yang lebih kecil yang mewujudkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, dan Kelantan, yang akhirnya menimbulkan pelbagai dialek.

c) Penjajahan

    Penjajah akan meninggalkan warisan linguistiknya semasa sesuatu kawasan dijajah.

d) Perdagangan

    Oleh sebab bahasa yang bercampur dengan bahasa asing lebih mudah difahami oleh pelabur asing, penduduk atau perniaga tempatan sering berkomunikasi dengan bahasa campur. Seiring waktu, bahasa tersebut akan menjadi bahasa dialek yang khasnya di tempat tersebut.

e) Masa

    Jika dibandingkan dengan dialek zaman dahulu amat berbeza dengan dialek yang digunakan zaman sekarang mengikut peredaran zaman. Secara semulajadinya, sesetengah dialek berterusan digunakan sehingga waktu kini dan ia dikatakan sebagai dialek yang hidup.

Contoh-contoh dialek

DIALEK UTARA (PERLIS, KEDAH, DAN PULAU PINANG)


 “Hang mai la sini sat. Aku nak ajak hang pi nat sat.”
( Awak datang sini sekejap. Saya nak ajak awak pergi ke pasar. )
MySpace

DIALEK PERAK

 “Teman suke ghomah tepi pante.”
( Saya suka rumah tepi pantai. )
MySpace


DIALEK KELANTAN

 “Mu nok gi make mano?”
( Awak nak pergi makan di mana? )
MySpace


DIALEK TERENGGANU

 “Samad keracunang makanang sebab makang ikang sading dalang ting.”
(Samad keracunan makanan sebab makan ikan sardin dalam tin. )
MySpace


DIALEK NEGERI SEMBILAN

 “Ekau ni torai bongok kat eden.”
( Awak ni cuba tipu saya. )
MySpace


DIALEK JOHOR

 “Mat, tolong ambilkan gebor dalam gerobok.”
( Mat, tolong ambilkan selimut dalam almari. )
MySpace


DIALEK MELAKA

 “Ulau itu besau.”
( Ular itu besar. )
MySpace


DIALEK SARAWAK

 “Auk, kamek temu pusak disiya.”
( Ya, saya jumpa kucing disitu. )
MySpace


DIALEK SABAH

 “Mengapa can ko ani?”
( Apa kena dengan awak ni? )
MySpace

Jumaat, 20 Ogos 2010

Cara penggunaan dialek dalam masyarakat

      
      Dialek dapat didefinisikan sebagai suatu bentuk bahasa yang berbeza daripada bahasa standard. Variasi bahasa ini digunakan dalam satu daerah atau kelas sosial tertentu. Berbeza daripada bahasa baku yang digunakan dalam situasi rasmi, dialek digunakan dalam situasi yang berlainan, iaitu digunakan dalam percakapan seharian mengikut negeri masing-masing. Selalunya dialek digunakan dalam situasi yang tidak rasmi seperti dalam perhubungan kekeluargaan dan pergaulan seharian. Terdapat dua jenis ciri dalam dialek iaitu,ciri-ciri umum yang sama yang dimiliki oleh semua dialek dan ciri-ciri khas yang berlainan yang hanya dimiliki oleh dialek masing-masing.

        Ciri-ciri umum yang banyak digunakan berbanding ciri-ciri khas.Hal ini demikian, membolehkan penutur dialek-dialek itu saling memahami antara satu sama lain dengan sempurna.Namun demikian, jika ciri-ciri umum antara dialek itu semakin berkurang , maka tahap pemahaman antara penutur dialek yang berbeza akan semakin rendah. Oleh itu, ciri-ciri umum ini akan hilang, maka tahap pemahaman turut lenyap dan perkembangan ini akan menyebabkan kemunculan bahasa-bahasa baru.

        Terhasilnya sesuatu dialek adalah disebabkan oleh adanya faktor geografi dan faktor sosial. Dari segi sosial, sesuatu dialek itu timbul kerana perhubungan yang baik untuk menghubungkan masyarakat yang sebelum ini menuturkan bentuk bahasa yang sama. Dalam keadaan yang demikian, dialek yang terhasil dinamakan dialek daerah.

        Faktor sosial pula merujuk kepada faktor yang berkaitan dengan perhubungan masyarakat. Sebagai contohnya, pergaulan masyarakat melayu dengan masyarakat Cina dan India telah menghasilkan dialek pasar atau bahasa pasar manakala pergaulan antara remaja pula mewujudkan bahasa slanga. Dialek yang terhasil daripada faktor sosial pula dikenali sebagai dialek sosial.

        Istilah lain untuk dialek daerah ialah loghat daerah. Dengan menggunakan isoglos atau garis sempadan linguistik, penutur-penutur dialek daerah dapat dikelompokkan dalam satu kawasan geografi linguistik tertentu. Sebagai contohnya,dialek-dialek daerah di Malaysia dapat dibahagikan kepada dialek utara atau dialek Kedah yang meliputi kawasan Perlis,Kedah,Pulau Pinang dan Perak Utara, dialek Perak yang meliputi kawasan Perak Tengah. Dialek Selatan yang meliputi Perak Selatan,Selangor,Melaka dan Johor. Dialek Negeri Sembilan yang terdapat di Negeri Sembilan. Dialek Kelantan yang meliputi negeri Kelantan serta kawasan-kawasan sempadan Pahang dan Terengganu. Dialek Sabah yang tertumpu di pulau Labuan dan sekitar Beaufort. Dialek Sarawak yang terdapat di bahagian pertama khususnya Kucing dan Pantai Utara serta kawasan Miri, Bintulu dan Sibu.Dialek-dialek ini dibezakan dari segi sebutan, kosa kata, kata ganti nama diri,tatabahasa dan gaya lagu bahasa.

        Aspek tatabahasa yang berbeza antara dialek dapat dilihat dalam penggunaan imbuhan. Contohnya, dialek Utara menggunakan imbuhan apitan memper…kan untuk kata dasar adjektif seperti pada perkataan mempercepatkan tetapi bagi dialek selatan, imbuhan yang digunakan hanya imbuhan awalan memper…atau apitan men…kan, iaitu mempercepat atau mencepatkan. Dari segi lagu bahasa pula, didapati orang Kedah bertutur lebih cepat berbanding dengan orang negeri Sembilan.

        Di Malaysia, seseorang penutur asli bahasa melayu biasanya dilahirkan dalam suasana dialek tertentu. Dialek itu merupakan bahasa pertama yang dipelajari dan dikuasai oleh mereka. Kemudian, apabila belajar di sekolah, mereka mula terdedah kepada bentuk bahasa baku dan perlu mempelajari sehingga menguasainya. Antara dialek sosial yang terdapat dalam bahasa melayu ialah bahasa pasar dan bahasa slanga.





Penerimaan masyarakat terhadap penggunaan dialek

    
        Dialek digunakan dalam masyarakat sebagai penghubung komunikasi dalam sesebuah kawasan atau situasi sosial. Dialek yang merangkumi penggunaan bahasa halus, sopan, rasmi, dan santai telah mengikat masyarakat agar menggunakan dialek yang tertentu bergantung kepada situasi yang dialami ketika sesuatu perkara itu berlaku. Penggunaan dialek tertentu melambangkan kesopanan dan kehalusan budi seseorang penutur, di samping menentukan jarak perhubungan seseorang penutur sama ada akrab atau sebaliknya. Situasi sama ada rasmi atau tidak rasmi secara langsung telah mendasari masyarakat agar memilih sama ada mahu berlaku sopan atau sebaliknya. Melalui pelbagai dialek geografi yang terdapat dalam masyarakat ini telah membawa kekuatan masyarakat terhadap negeri tercinta dengan menggunakan dialek negeri masing-masing. Situasi ini secara langsung telah membawa identiti sesebuah masyarakat di kawasan tertentu seiring dengan latar belakang yang membawa ciri budaya. Melalui aspek dialek sosial pula membolehkan masyarakat mengaplikasi dialek sosial tertentu dalam situasi tertentu demi menghormati protokol yang wujud khususnya situasi rasmi. Hal ini telah membawa masyarakat agar menyedari akan kewujudan pelbagai tatacara dan gaya bahasa yang bersesuaian yang juga merangkumi adat budaya. Oleh itu masyarakat sememangnya harus mendasari penggunaan dialek sosial khususnya demi menjalani urusan dengan teratur.

Implikasi yang timbul disebabkan oleh penggunaan dialek

Kesan positif:



1.Bahasa tersebut memudahkan komunikasi antara penduduk sesetempat.

-Semasa berkomunikasi, mereka akan mewujudkan kemesraan sesama mereka.Hubungan antara mereka menjadi lebih erat, berasa tenang dan berhibur apabila mereka berkomunikasi antara satu sama lain.

 


Kesan negatif:

1.Mutu Bahasa Melayu dalam lisan dan tulisan akan merosot.

-Pengunaan Bahasa Dialek boleh mempengaruhi penulisan dan lisan tanpa disedari. Contohnya,keracunan bahasa dapat kita lihat dan dibaca saban hari di majalah, rancangan-rancangan yang disiarkan di televisyen yang telah dicampuradukkan pengunaan dengan kata-kata lain yang tidak sesuai.Hal ini menyebabkan mutu dan nilai Bahasa Melayu semakin merosot.

2.Kedudukan Bahasa Melayu tergugat

-Dasar Bahasa Kebangsaan telah meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan negara kita, sekiranya situasi pengunaan bahasa dialek tidak dibendung, ia akan menjadi barah dalam masyarakat kita dan sudah tentu akan memudaratkan pengguna dan nilai Bahasa Melayu.

 
3.Lemah dalam penguasaan Bahasa Melayu

-Contohnya di sekolah,guru-guru mengambil jalan mudah dan cenderung mengguna Bahasa Dialek sebagai bahasa pengantar dengan alasan pelajar lebih mudah memahami sesuatu yang disampaikan.Hal ini menyebabkan pelajar-pelajar akan berasa keliru dan sukar untuk menguasai Bahasa Melayu yang betul.

4.Masalah pembinaan masyarakat berwawasan

-Keracunan dalam penyampaian dan pengunaan laras bahasa yang dicampuradukkan dengan bahasa yang tidak sesuai dalam konteks pengunaan yang semakin setara menunjukkan sudah semestinya tidak akan dapat membina minda masyarakat untuk maju dan mengejar kemajuan.

Cara mengatasi masalah penggunaan dialek

Seperti situasi yang sering berlaku kini, ekoran daripada sudah terbiasa dengan menggunakan dialek, ramai dalam kalangan masyarakat kita hari ini mempunyai masalah dalam komunikasi apabila ingin memberi ucapan secara formal dalam majlis rasmi. Antara cara mengatasinya ialah:

1) Cuba untuk membiasakan diri dalam situasi yang berbeza

Bahasa merupakan alat perhubungan seharian dan bahasa juga bersifat dinamis iaitu berbeza mengikut situasi. Oleh itu, kita seharusnya cuba untuk membiasakan diri dalam setiap situasi yang berbeza. Sebagai contoh, apabila berada dalam majlis tidak rasmi dalam kelompok masyarakat yang menggunakan loghat sebagai bahasa perhubungan mereka, kita mestilah bijak untuk cuba belajar dan ini penting untuk menentukan supaya hubungan interaksi dapat terus berlaku.

2) Membina lebih ramai kenalan

Membina lebih ramai kenalan di sini membawa maksud kenaan yang datang dari berbeza negeri. Pergaulan yang sihat ini dapat member peluang kepada kita untuk belajar dan sebagai latihan agar kita sudah terbiasa walau dalam apa-apa jua situasi sekalipun kerana semakin jauh kita mengembara dari tempat permulaan, kita akan dapati perbezaan bahasa dari desa ke desa itu semakin banyak. Ini juga sebagai latihan komunikasi dan dapat mengurangkan masalah seperti yang menghantui sesetengah individu apabila ingin berkomunikasi dalam bahasa standard.

3) Menyediakan lebih banyak gerbang, enjin carian dan portal bahasa Melayu dengan hubungan ke semua tapak yang berfaedah

Langkah penyediaan ini penting untuk pemelajaran, pengajaran dan penyelidikan bahasa Melayu. Masyarakat hari ini yang lebih terdedah kepada dunia sains dan teknologi dapat memanfaatkan peuang ini dengan melawat laman ini dan dalam masa yang sama dapat mengetahui tentang soal penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Kesimpulan

       Dialek secara umumnya melambangkan kebudayaan yang disusuli nilai-nilai positif antara penutur yang juga menentukan jarak keakraban masyarakat. Dialek membolehkan sesebuah masyarakat membawa kehidupan dengan bergantung kepada kesopanan dan kehalusan budi atau sebaliknya. Masyarakat seharusnya menitikberatkan penggunaan dialek dan bahasa agar kehidupan dapat diteruskan dengan memandang tinggi terhadap penggunaan variasi bahasa.