Memaparkan catatan dengan label Suriani Bt Abdullah (199198). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Suriani Bt Abdullah (199198). Papar semua catatan

Sabtu, 21 Ogos 2010

Pengenalan Dialek

       
       Dialek juga dikenali sebagai variasi bahasa iaitu variasi daripada sesuatu bahasa tertentu dan dituturkan oleh sekumpulan masyarakat bahasa tersebut. Kepelbagaian bahasa itu ditentukan oleh faktor teknikal bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Dialek ditentukan oleh beberapa faktor iaitu kedudukan geografi, kumpulan sosial, perwatakan peribadi dan konteks semasa. Dialek terbahagi kepada dua iaitu dialek geografi dan dialek sosial. Dialek geografi merangkumi dialek yang digunakan oleh masyarakat di kawasan tertentu seperti dialek selatan, dialek utara, dialek pantai timur dan dialek pantai barat. Dialek ini ditentukan berdasarkan ruang geografi tempat menetapnya penutur sesuatu bahasa berkenaan. Dialek sosial digunakan apabila berlakunya pelbagai situasi sosial tertentu seperti situasi rasmi dan tidak rasmi yang mengandungi bahasa kasar,halus dan neutral.

Jumaat, 20 Ogos 2010

Penerimaan masyarakat terhadap penggunaan dialek

    
        Dialek digunakan dalam masyarakat sebagai penghubung komunikasi dalam sesebuah kawasan atau situasi sosial. Dialek yang merangkumi penggunaan bahasa halus, sopan, rasmi, dan santai telah mengikat masyarakat agar menggunakan dialek yang tertentu bergantung kepada situasi yang dialami ketika sesuatu perkara itu berlaku. Penggunaan dialek tertentu melambangkan kesopanan dan kehalusan budi seseorang penutur, di samping menentukan jarak perhubungan seseorang penutur sama ada akrab atau sebaliknya. Situasi sama ada rasmi atau tidak rasmi secara langsung telah mendasari masyarakat agar memilih sama ada mahu berlaku sopan atau sebaliknya. Melalui pelbagai dialek geografi yang terdapat dalam masyarakat ini telah membawa kekuatan masyarakat terhadap negeri tercinta dengan menggunakan dialek negeri masing-masing. Situasi ini secara langsung telah membawa identiti sesebuah masyarakat di kawasan tertentu seiring dengan latar belakang yang membawa ciri budaya. Melalui aspek dialek sosial pula membolehkan masyarakat mengaplikasi dialek sosial tertentu dalam situasi tertentu demi menghormati protokol yang wujud khususnya situasi rasmi. Hal ini telah membawa masyarakat agar menyedari akan kewujudan pelbagai tatacara dan gaya bahasa yang bersesuaian yang juga merangkumi adat budaya. Oleh itu masyarakat sememangnya harus mendasari penggunaan dialek sosial khususnya demi menjalani urusan dengan teratur.

Kesimpulan

       Dialek secara umumnya melambangkan kebudayaan yang disusuli nilai-nilai positif antara penutur yang juga menentukan jarak keakraban masyarakat. Dialek membolehkan sesebuah masyarakat membawa kehidupan dengan bergantung kepada kesopanan dan kehalusan budi atau sebaliknya. Masyarakat seharusnya menitikberatkan penggunaan dialek dan bahasa agar kehidupan dapat diteruskan dengan memandang tinggi terhadap penggunaan variasi bahasa.